Wednesday, July 24, 2013

NASI SERAI ~~ Resepi Bonda

NASI SERAI ~~ resepi arwah bonda...dah lama tak makan nasi serai ni, bertahun jugak dan kali ini kita buat sebab 2-3 hari ni hati memang sayu sangat....tak boleh nak bayangkan kenapa dan mengapa.....mungkin kerana Aidilfitri semakin hampir dan kerinduaan suasana beraya dengan ayahbonda yang dah lama pergi mengadap Ilahi membuatkan kita teringin masakan arwah bonda..... AL-Fatihah.

Jom intai resepi yang arwah bonda kita ajar....
 
AYAM MASAK MERAH :-
1 ekor ayam
2-3 sudu tomato paste
2 sudu rempah kurma
Minyak untuk menumis
Garam
Gula
1 batang kayu manis
4 kuntum cengkih
Air

Bahan Kisar halus :-
8 biji bawang merah
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
Halia
Lengkuas
Serai

Caranya :-
Goreng ayam separuh masak. Ketepikan
Tumis kayu manis, cengkih dan masukkan bahan kisar halus hinga wangi. Masukkan rempah kurma dan tomato paste. Masak hingga rempah pecah minyak dan sebati. Kalau agak kering bolehlah dimasukkan sedikit air agar berkuah sedikit.
Masukkan ayam yang telah di goreng setengah masak. Perasakan dengan garam, gula.



ACAR TIMUN CARROT

Bahan-bahannya :-
1 batang timun segar - potong memanjang (tak ambil bahagian biji tu)

1 batang carrot - potong memanjang
1 batang lada merah - belah dua dan buang bijinya dan hiris halus

1 labu bawang besar - hiris halus
2 sudu besar cuka
3 sudu gula pasir
sedikit garam

Cara-cara :
Kacau gula, garam dan cuka hingga gula larut.

Masukkan bahan-bahan lain dan gaul rata.. Masukkan dalam bekas yang bertutupdan simpan dalam peti sejuk. Simpan lebih kurang 30 minit sebelum nak dihidangkan.


 
NASI SERAI
Bahan-bahannya :-

3 cawan beras basmathi (guna cawan periuk nasi)
4 cawan air (guna cawan periuk nasi)
minyak sapi untuk menumis - kita guna minyak jagung

Bahan kisar halus :-
7 batang serai - hiris yang putih sahaja
1 labu bawang besar
4-5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
(bahan blender ni haruslah dikisar hingga serai tu halus)

Rempah tumis 4 sekawan

Caranya :-
Panaskan minyak dan tumis rempah tumis 4 sekawan dan baki batang serai yang dihiris putihnya hingga naik bau. Masukkan bahan tumis dan biar seketika hingga masak dan naik bau.

masukkan air dan biar hingga mendidih. Masukkan beras dan masak seperti biasa.
 

Thursday, July 18, 2013

SAGO GULA MELAKA

SAGO GULA MELAKA ~~ pemanis mulut sempena Ramadhan ke-6. Kita memang suka sago ni dan tersangat sesuai tak kala berbuka sebagai pembasah tekak. Tekak kali ni pun macam masih tak selesa dari kesan jerebu baru-baru ni....so memang nikmatlah tekak bila makan pemanis mulut ni kan.....alhamdulillah nikmat rezeki tak terhingga dari Yang Maha Esa.....syukur..

Satu resepi yang mudah sangat nak buat sebenarnya namun terselit kisah di sebalik tempoh pembuatannya....hanya saya dan pemilik blog life is sweet jer tahu ye....Syifa....suhhhhhhhhh..... rahsia tau....



Jom intai resepi siapa yang kita skodeng sebagai rujukan....thanks Syifa atas tunjuk ajor...tapi akak buat tetap gitu....tak kisah erkk.. yang penting sodap.....thumbs up dari hb pun dah kembang semangkok gitu...:)

Resepi Asal :
CMG Dapur tanpa sempadan
Sumber resepi ~~ Life is sweet 
Bahan-bahannya :-

300 gram sago biji, cuci dan toskan - Kite buat 150gram sahaja
2 liter air - kite guna 1 botol mineral kecil + 1/2 cawan
2 helai daun pandan, disimpul
3/4 camca teh pewarna hijau makanan
1 ketul gula melaka, hiris kecil*
1/2 cawan gula pasir*
1 1/4 cawan air*
1 helai daun pandan*(*disatukan dan masak hingga pekat, tapis dan sejukkan)
1 cawan pati santan + 1/4 camca teh garam + 1/2 camca teh tepung jagung = satukan, kacau dan masak hingga panas, sejukkan.

Caranya :-


Didihkan 2 liter air tadi bersama daun pandan dan pewarna hijau makanan, kemudian masukkan sago biji dan masak hingga kelihatan jernih. Masak dengan api sederhana dan kacau selalu. Tutup api dan biar 4-5 minit dalam peiuk.


Tuang dalam tapis dan cuci biji sago tadi bawah air paip untuk membuang kanjinya. Kemudian masukkan ke dalam bekas2 kecil atau acuan yang anda gemari, padat2kan dan simpan dalam peti sejuk 1 - 1 1/2 jam. Sapu sedikit minyak pada acuan tadi.
Keluarkan dari acuan dan letakkan dalam bekas sesuai, tuang gula melaka tadi dan juga santan pekat tadi. Hidangkan sejuk

Wednesday, July 17, 2013

AYAM MASAK HALIA

AYAM MASAK HALIA ~~ alhamdulillah kini masuk hari ke-8 kita semua berpuasa, syukur atas segala nikmat-Nya. Selalunya bulan puasa ni kita memang masak yang ringkas-ringkas dan cepat disediakan sebab agak suka makan tika lauk masih panas gitu. Kali ni kita cuba masak ayam masak halia yang mana kita nampak 2-3 orang rakan blogger dah buat. Makan untuk bersahur pun sedap kalau masakan cenggini.


Selalu memang gini le cara kita masak ayam halia, ringkas dan bahan yang mudah di dapati. Cuma kali ni kita guna ayam drummet segera tu dan goreng sikit....kekunun nak cuba ayam yang bersalut tepung le pulak....(padahal malas gitu....). Kalau tak nak guna drummet segera tu gunalah ayam fresh ye....

Bahan-bahannya :-
Beberapa ketul ayam - kita guna drummet segera tu....nak mudah gitu :)
I inci halia - disagat halus
4 ulas bawang putih - disagat halus
1 labu bawang besar - dipotong bulat
1 biji cili merah - di potong serong
1 biji cili merah - dipotong serong
2 sudu sos tiram
sedikit lada hitam kisar
garam dan serbuk secukup rasa
Sedikit air

Caranya :-

Drummet tu di goreng seketika. ketepikan
Panaskan minyak dan tumis halia serta bawang putih hingga naik bau.
Masukkan sos tiram dan sedikit air. Gaul sebati dan masukkan ayam tadi, Biar seketika.
Masukkan cili potong serta bawang tadi dan lada hitam.  Masak biar kuah agak pekat sedikit.
Seimbangkan rasa garam serta serbuk secukup rasa.

Tuesday, July 16, 2013

POPIA GORENG

POPIA GORENG ~~ alhamdulillah permintaan suami untuk makan popia goreng terlaksana sudah, kita jarang-jarang buat popia ni sebab kita lebih suka popia basah tapi tak pandai buat cuma pandai beli jer.....heehee....tapi atas permintaan suami maka terjadilah popia ni, semangat tau nak buat sebab suami kita memang jarang request nak makan apa, apa yang di masak itu yang di makan dengan senang hati.....:)
Kita buat ikut cara sendiri yang pernah di ajar oleh arwah mak dulu, mungkin cara yang sama dengan orang lain jugak, cuma inti dalam tu jer yang lain orang lain caranya kan.....selalu kita guna udang tapi oleh kerana tekak orang yang ngidam tu alergik udang maka kita gantikan dengan isi ayam.
jom intai resepi mudah dari ummiakid....:)

Bahan-bahannya :-
Kulit popia - kita beli yang dah siap dijual
Isi ayam - didadu kecil - nak letak udang pun boleh.
1 batang lobak merah - dihiris halus
1 biji sengkuang - dihiris halus
2 cawan taugeh
4 ulas bawang putih - disagat halus
Secubit garam
1 sudu kecik serbuk secukup rasa
sedikit lada sulah - optional

Caranya :-
Tumis bawang putih hingga naik bau, masukkan isi ayam/udang. Masak seketika.
Masukkan lobak merah, sengkuang dan taugeh. Gaul rata biarkan sayur agak lembut.
Perasakan dengan garam dan secukup rasa. Letak sedikit lada sulah.

Biarkan sayur seketika dan bolehlah ditutupkan api. Sayur jangan layur sangat nanti tak sedap.
 
Bahan-bahan untuk Sos cili :-

6 biji cili merah
3-4 ulas bawang putih
2 camca cuka
sedikit air
2 sudu gula
secubit garam

Caranya :-
Kisar cili, bawang putih bersama sedikit air. Masak seketika di atas api dan masukkan gula serta cuka tadi. Biar mendidih seketika dan sos agak pekat sedikit.

 

 

 



Monday, July 15, 2013

AGAR-AGAR MILO LAPIS OREO

AGAR-AGAR MILO LAPIS OREO ~~ memang tak di nafikan sedap agar-agar ni, terbaca kat FB tentang kepopular-an agar-agar ni bila Dato Ct mencubanya....maka kita pun terover excited le nak cuba jugak....dan ternyata memang sedap, lemak manis dan tak henti-henti makan, nak-nak bila sejuk....nyaman tekak sehhhh.....tak rugi mencuba.

Kalau tengok pada Roz HomeKreation buat ada 3 layer tapi kita buat bayang layer pun tak nampak sebab bila dituang adunan tu boleh pulak ia bercampur.....kita tak dapat nak agak tahap seakan-akan keras tu....tapi tak kisahlah kan....yang penting mabeles (pujuk hati sendiri ni...)



Jom cuba ramai-ramai okey dan bila dah pertama kali buat, pasti akan buat berkali-kali seterusnya....serius tau...!

Sumber Resepi :- HomeKreation
Bahan-bahannya :- Guna loyang size 8''
1 bungkus agar-agar atau 10gram serbuk jelly - kita guna agar-agar serbuk
750ml air  - sukat guna botol mineral 500liter  + 1 cawan air
170 gula - kita bubuh 150gm sahaja
1 tin susu cair 400g
3/4 cawan Serbuk milo
1 bungkus Oreo 137g - patah-patahkan tanpa buang krim dalam tu


Caranya :-

Panaskan agar-agar bersama air hingga agar-agar larut, kemudian masukkan gula, kacau  dan biarkan gula larut baru masukkan susu cair hingga mendidih, kacau betul-betul ya.

Asingkan 2 cawan ke dalam periuk yang lain dan campurkan serbuk milo, kacau hingga sebati

Tuangkan 1 cawan campuran milo ke dalam loyang/acuan. Masa ini api untuk periuk Milo dikecilkan dan sentiasa di kacau untuk elak agar2 membeku.

Apabila permukaan agar-agar milo dalam acuan sudah mengeras, tuangkan kesemua adunan periuk yang asli (warna putih) dalam acuan. Taburkan kesemua oreo. Apabila permukaan agar-agar putih + oreo mengeras, diakhirkan dengan lebihan agar-agar milo. ( ada 3 LAPISAN ya )

Biarkan membeku dalam suhu bilik, kemudian bila sejuk baru masukkan dalam peti ais

Tips untuk melapis :-

Jangan tunggu sehingga lapisan membeku, takut tidak melekat dengan lapisan berikutnya, jika mengeras guriskan permukaan lapisan dengan garfu sebelum tuang lapisan seterusnya.

Pastikan adunan agar-agar sentiasa panas diatas api supaya dalam melekat dengan baik dengan adunan sebelumnya..
 
 
 
 
 

Friday, July 12, 2013

ASAM PEDAS BATANG KELADI

ASAM PEDAS BATANG KELASI ~~ juadah berbuka semalam....my other half yang suka batang keladi kalau masak asam pedas.....bagi kita pulak asal asam pedas semua kita balun kecuali asam pedas ikan mayong.....kenapa...??? sebab tak makan ikan mayong....simple jer jawapannya....:) sesekali batang keladi masak cenggini memang mabeles....sebab asam pedas ni boleh diperbagaikan....ikan, daging....mengikut citarasa sendiri....asal selera dapat terima....kan..?
 

Kalau kita masak asam pedas, sama jer caranya cuma kalau ayam kita suka letak lada hitam tapi untuk batang keladi ni....macam masak asam pedas ikan jer bahan-bahannya.....jom lah cuba...

Bahan-bahannya :-
Batang keladi - dibersihkan dan celur ( Kite beli yang dah siap siang....)
sedikit jus asam jawa
5 sudu besar lada kering kisar
2 batang serai - diketuk
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Daun kesom

Bahan ditumbuk halus:-)
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup

Caranya :-

•Tumiskan serai serta bahan yang ditumbuk halus hingga naik bau dan masukkan cili kering kisar. Biar hingga garing dan masukkan air secukupnya.
•Biar hingga mendidih, masukkan batang keladi serta air asam jawa. Tambahkan garam secukup rasa. Jangan masak terlalu lama sebab batang keladi tu dah dicelurkan.
.

Tuesday, July 9, 2013

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan buat sahabat semua.....alhamdulillah Ramadhan datang lagi dan bersyukur kepada-Nya diberi kesempatan bagi menyambut bulan yang mulia ini dan doa saya muga semuanya diberikan kesihatan yang baik dalam menjalani ibadah puasa nanti.

Di kesempatan ini juga saya memohon kemaafan andai ada salah dan silap saya secara sengaja mahupun tidak, tutur bicara yang menyinggung rasa dan tingkah laku yang mengguris hati.....maafkan saya. Halalkan segala perkongsian dan semuga keberkatan Ramadhan ini di perolehi oleh semua.....
 
Selamat berpuasa.....:)

Monday, July 8, 2013

ROASTED BREAD WITH NUTELLA & BANANA

ROASTED BREAD WITH NUTELLA & BANANA ~~ dah pernah buat banyak kali lah sangat.....sebab tersangat suka dan ringkas nak buat. Boleh bubuh filling apa sahaja yang anda gemari....so far yang kita suka nutella atau peanut butter. Apapun kena cubalah pelbagai filling baru tahu citarasa sendiri kan.....hingga ke gigitan yang terakhir tau....:)


Jom cuba untuk bekfes.....sedap dan tak rugi tau. Jangan kata anak-anak suka....mak pak anak pun terlebih suka...:)
Bahan-bahannya :-
Beberapa keping roti -
Nutella
Pisang - belah dua
Sedikit gula perang
Butter

Caranya :-
  • Sapukan nutella pada kedua-dua keping roti.
  • Lapiskan pisang di atas roti dan lapikkan roti yang sekeping lagi.
  • Panaskan non-stick pan dengan sedikit butter dan panggang roti. Tekan dengan jari semasa memanggang dalam 10 saat, terbalikan bahagian lagi satu dan tekan juga dalam 10 saat. Tabur sedikit gula perang dan bakar sekejap lagi.
  • Potong dua roti tersebut dan hidangkan.
 
 
 

Monday, July 1, 2013

BUBUR KACANG HIJAU

BUBUR KACANG HIJAU ~~ antara manisan kegemaran kita adalah bubur, memang tak boleh nak di nafikan lagi okey.... tergoda nak buat bila terlihat Kak Noor Zainal dari satu group masakan tayang bubur kacang durian maka terus jer laju nak buat walaupun bubur kacang kita tak ada durian.....:)
 
Jom arr intai resepi mudah yang memang gitu lah caranya kita buat dari dulu hingga kini....tak ada mood lah nak pok pek pepanjang sebab kita baru kehilangan sahabat baik baru-baru ini....satu berita yang mengejutkan....doakan yang terbaik ye buat sahabat kita.... Al-Fatihah...
 

Bahan-bahannya :-

1 cawan kacang hijau - kita goreng tanpa minyak sekejap dan rebus
2 cawan santan
1/2 keping gula Nisan
2 sudu besar gula pasir
Sedikit air utk melarutkan gula Nisan
1 helai daun pandan - disimpul
1/2 camca teh garam
1 inci halia - diketuk (utk elakkan angin ~~ kata arwah mak aii ye...)

Caranya :


  • Rebus kacang hijau hingga kembang dan tapiskan. Ketepikan seketika.
  • Larutkan gula dan gula nisan bersama sedikit air. Masukkan kacang, santan, garam dan daun pandan. Kacau dengan api sederhana.  Kacau selalu agar santan tak pecah minyak.
  • Seimbangkan rasa dan bila mendidih tutup api. Kacau seketika walaupun api dah tutup bagi mengelakkan santannya berkepala.

Tuesday, June 18, 2013

Akid 5th Birthday ~~ 18/6/2008

Alhamdulillah hari ini 18/6/2013 Akid genap 5 tahun. Syukur kepada Allah SWT yang tidak terhingga atas kurniaan ini....

Nama : Muhammad Akidhakimi Baharin
Tarikh Lahir : 18/6/2008
Berat ketika Lahir : 2.6kg
Tempat Lahir : Johor Bahru
Berat terkini : 21.6kg

HAPPY 5th BIRTHDAY to Muhammad Akidhakimi ~~
Tarikh 18/6/2008 adalah tarikh yang paling membahagiakan Ummi....kehadiran Akid dalam hidup ummi & abi memberi makna yang cukup mendalam....anugerah Allah yang tinggi nilainya....

Ummi dan Abi senantiasa mendoakan semuga Akid menjadi anak yang soleh, penyabar, penyayang, diberkati, dilindungi serta dalam kerahmatan Allah SWT selalu, diperluaskan pintu rezeki, dikurniakan akal yang cerdik serta pertimbangan yang wajar, kesihatan yang baik dan berjaya dunia dan akhirat.....aamiin...

dan ingatlah pesanan ini
walau apa jua tanggapan orang lain terhadap dirimu....ingatlah dan sematkan kata² ummi ini dalam sedalam dalamnya di lubuk hatimu bahawa Ummi dan Abi senantiasa menyayangimu dengan sepenuh jiwa raga kami....dan kehadiranmu amat-amat membahagiakan kami.......
 
Birthday cake pilihan Akid tahun ini....motif kartun kegemaran kala ini....Octaunats....suka riang gumbira bila tengok kek ni....terkinja-kinja suka...:)

Raikan hari bahagia ini bersama kawan-kawan kat Tadika.



Goodies bag untuk kawan-kawan Akid seramai 28 orang....muga semua happy dapat pemberian ikhlas dari Akid ini....:)
Macam biasa Akid tersangat happy membantu ummi packing goodies bag untuk kasi kawan-kawannya nanti....setiap hari mengira tarikh untuk tiba hari ni.....muga Akid terus membesar dalam lindungan Allah SWT selalu....:)


Wednesday, June 5, 2013

PUDING KASTARD

PUDING KASTARD ~~ dah 2-3 hari lepas nak membuatnya tapi ada jer halangan dan halangan terbesar adalah MALAS dan sudah pasti ini dikira  alasan  '' klise '' lah kan....:) Tak kisah yang penting semalam akhirnya buat jugak sebab tekak dah tak tahan teringin. Antara manisan yang kite sekeluarga minat  dan yang paling minat adalah Akid....kalau bersuap ye...kalau suruh makan sendiri maka yang luak sos dan buah tu jer....puding tinggal.....Anak oh anak...!

Jom lah intai resepi mudah semudah ABC versi sendiri...:)

Bahan-bahannya :- Untuk puding
1 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
5 1/2 cawan air
Secubit garam
1 tin buah-buahn campuran

Carannya :-
Satukan kesemua bahan kecuali buah-buahn campuran di atas dan di masak di atas api sederhana. Kacau sehingga adunan likat dan berkilat. Masukkan  ke dalam acuan yang disukai. Sejukkan

Untuk Sos :-
1 tin susu cair
1 tin air - disukat menggunkan tin susu
1 sudu besar gula - ikut kemanisan yang disukai
1 biji telur - di buang tali pusat

Caranya :-Telur dipukul sedikit dan satukan bersama susu, air dan gula. Masak sedikit dengan api perlahan. Makan bersama puding kastard dan buah-buahan campuran. Sangat enak dimakan ketika sejuk.

Wednesday, May 29, 2013

ROTI JALA vs KARI AYAM

ROTI JALA & KARI AYAM ~~ Dah lama jugak tak menjala tetiba petang semalam keinginan itu mendatang maka mood rajin pun berbunga-bunga.....kebetulan tuan besor rumah ni kekonon tak nak makan nasi so idea nak buat roti jala ni pun bersulam jugak dengan keinginan kite. Tuan kecik yang very the fussy pun suka roti jala ni.....sementara kite menjala, 5 gulung jugak licin.... penat menjala pun tak terasa bila buah hati suka makan kan.....:)
Resepi untuk kari ayam cara kite masak macam biasa dan mungkin sama jer dengan cara orang lain kan....apapun kari ayam memang gabungan terbaik untuk makan bersama roti jala bagi selera kita sekeluarga...

BAHAN-BAHAN UNTUK KARI :-
1/2 ekor ayan, kerat ikut suka - kite potong kecik²
2 biji kentang - dibelah 4
1 1/2 cawan santan.
2 sudu besar rempah kari daging.
1 sudu besar cili kisar
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
1 biji kentang
1 batang carrot

BAHAN DITUMBUK :-
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

BAHAN TUMIS :
2 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
daun kari

Caranya :-
Tumiskan bahang tumis hingga naik bau, masukkan bahan tumbuk dan rempah kari serta cili kisar. Biar sampai terbit minyak dan masukkan sedikit air serta ayam dan ubi kentang bersama carrot.

Bila ubi kentang dan carrot dah agak² empuk, masukkan santan dan kacau jangan sampai pecah minyak. Masukkan asam gelugor dan bahan perasa secukupnya.

Kepekatan kuah tu terpulang selera masing-masing ye...kite buat agak pekat sikit untuk kali ini...sedap makan dengan roti jala....

Kali ni kite buat resepi dari blogger hebat CMG untuk roti jala itu....ada sedikit kelainan sebab CMG guna butter cair dalam adunan tepung tu. Memang membuahkan hasil yang berlainan....lembut jer roti jala tu tau....kalau nak tahu tahap kelembutannya itu...........harus cuba okey..!
Jom intai resepi untuk Roti jala dari dapur Tiffin Biru CMG
Kite buat 2 adunan dari resepi di bawah ye...sebab nak makan banyak...:)


Bahan-bahannya :-
1 cawan tepung gandum
3/4 cawan air
1/2 cawan susu segar (kite guna air jer)
2-3 titik pewarna makanan kuning
1 biji telur - dikacau sedikit
3 camca besar mentega - cair dan sejukkan
Secubit garam
Sos kegemaran sebagai pencicah

Caranya :-

Satukan semua bahan-bahan di atas kecuali sos pencicah. Kacau rata dengan whisk dan tapis bancuhan tadi. Ketepikan 10 minit. (kite blender jer....senang...)

Panaskan non-stick pan,  Lenser dengan sedikit minyak masak (lap dengan paper towel bersih yang dicelop sedikit minyak). Bila panas, bolehlah mula menjala dengan kaedah masing-masing

Masak dengan api kecil, bila permukaan roti jala nampak pucat, berhati2 lipat kiri dan kanan ke dalam, kemudian dari pangkal, gulung perlahan2 hingga ke hujung. Kemaskan dan alih dalam pinggan. Buat kaedah sama untuk baki adunan, hingga siap. Hidangkan bersama sos kegemaran atau sambal tumis.

Tuesday, May 14, 2013

NASI GORENG apa yang ado

NASI GORENG apo yang ado ~~ haaaa...asal boleh jer kan bagi nama....tak kisahlah asal bahagia....:) nasi goreng ni buat bekfes tadi, tak tahu nak buat apa....buka peti ais tengok apa yang ado maka jadik le nasi goreng ni...simple tapi tak padan dengan empunya diri....sepinggan licin siap tambah lagi....sedap sangat lah tu.....biasalah kan naik lif tekan sendiri....nama pun dok tingkat 19...harus le naik lif tekan sendir kan....tapi serius sedap tau sebab ada serai dan daun kesom tu. Macam ala-ala nasi goreng kerabu gitu.....

Jom intai apa yang ado dalam nasi goreng ni....

Bahan-bahannya :-
Nasi putih
1 labu bawang besar - didadu halus
2 ulas bawang putih - diracik halus
Cili padi - di potong kecik-kecil - ikut pedas yang disukai
2 batang serai - dimayang halus
Sedikit brokoli
Sedikit bunga kobis
Daun kesom - diracik halus
1 biji telur
Garam dan secukup rasa

Bahan sampingan :-
Chicken drummet - kita guna Jenama Ramly - digoreng
Ikan bilis goreng


Caranya :-
Panaskan minyak dan tumis bawang serta cili mayang tadi. Masukkan serai dan gaul rata. Pecah telur dan gaul rata. Masukkan nasi dan gaul hingga bahan bergaul sebati. Bubuh bahan perasa dan seimbangkan rasa.

Masukkan daun kesom, bunga kobis dan brokoli. Kacau hingga sayur agak lembut. Taburkan ikan bilis goreng bila nak makan.

Friday, May 10, 2013

PENGAT @ BUBUR LABU

 
PENGAT LABU ~~ juadah minum petang semalam takkala hujan memang tersangatlah best bagi pengemar pengat @ bubur yang tegar ye.....yang tak tegar mesti kata....tak heran pun....heehee....tak kisahlah kan asal perut yang berdendangkan irama keroncong bila time sejuk-sejuk ni terisi....diam tak diam 2 mangkuk sekali hadap....tegar lah tu kan...?


Setiap kali masak pengat ni mesti ingatan terhadap arwah abah menyebabkan sebak di dada tak terbendung....ini antara menu wajib setiap kali Ramadhan kerana arwah abah memang suka pengat ni....mungkin kite memang 100% ikut selera arwah abah.....muga arwah abah tenang dan bahagia di sana disamping insan-insan yang Allah SWT sayangi.... Al-Fatihah...
Jom intai resepi ringkas versi UmmiAkid ye....cara yang dari dulu hingga kini kite buat....arwah mak ajor...:)
Bahan-bahanya :-
1/2 biji labu bersize sederhana - dadu dan rebus
santan dari 1 biji kelapa

1/2 cawan sago - rendam seketika
1 keping gula kabung
Sedikit gula
secubit garam
2 helai daun pandan

Caranya :-
  • Satukan kesemua bahan dan kacau dengan api yang perlahan. Masukkan labu dan sago, kacau hingga mendidih dan kacau selalu supaya tak pecah minyak.
  • Seimbangkan rasa mengikut selera manis yang disukai. Tutup api tapi teruskan kacau dalam 2-3 minit agar santan tak pecah minyak.
Ini adalah blog peribadi. Sekadar mengisi masa lapang serta berkongsi apa yang kita rasa. Oleh itu apa jua coretan mahupun pendapat yang kita coretkan diblog ini adalah dari pandangan kita sendiri. Pada sesiapa yang tidak setuju, tidak suka mahupun loya membaca coretan kita ini....tiada paksaan untuk mengikuti mahupun menyetujui pendapat kita ok...!!!!

Nak baca banyak lagi cerita ceriti...kena klik " OLDER POST '' okkk..!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...